Perkukuhkan Perpaduan Melayu

Perkukuhkan Perpaduan Melayu

KUALA LUMPUR 9 Jun - Kerajaan perpaduan mampu membuatkan orang Melayu tidur lebih lena.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu seolah-olah suatu tanda wujudnya unsur gencatan politik antara dua parti politik.

Katanya, idea itu juga telah memberi jaminan atau gambaran kepada rakyat bahawa pilihan raya umum akan datang akan berpihak kepada orang Melayu.

"Semua gambaran itu menunjukkan tidak ada implikasi buruk jika UMNO dan Pas merealisasikan kerajaan perpaduan malah memberi manfaat kepada rakyat," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas cadangan Abdul Hadi mengenai pembentukan kerajaan perpaduan yang disifatkan mampu menyelesaikan masalah negara.

Menurut Ahmad Atory, Pas perlu memberi penjelasan lebih lanjut berhubung cadangan itu demi melaksanakan kerajaan perpaduan yang boleh diterima di kalangan ahli UMNO.

Beliau menjelaskan, menerusi kajiannya terhadap pentadbiran dan politik di Barat, kerajaan perpaduan didefinisikan sebagai satu konsep jalinan kerjasama di antara parti pemerintah dan parti pembangkang.

Katanya, kedua-dua parti sentiasa bertukar-tukar pendapat dalam banyak perkara malah paling jelas ialah pihak pembangkang tidak menentang polisi yang dikemukakan oleh pihak pemerintah.

Beliau mengingatkan, kerajaan perpaduan bukan kerajaan campuran.

"Kerajaan campuran melibatkan pembahagian jawatan di dalam Kabinet. Sehubungan itu diharap tidak ada pihak yang tersalah tafsir.

Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, idea yang boleh dianggap sebagai realistik itu benar-benar akan memperkukuhkan majoriti Melayu dalam negara.

Katanya, jika benar Pas memilih UMNO untuk membentuk kerajaan perpaduan itu secara tidak langsung parti itu sebenarnya telah menawarkan diri membantu UMNO menguatkan semula prinsip rakyat iaitu memperjuangkan orang Melayu.

Beliau berkata, antara persoalan yang boleh diungkaikan ialah, cadangannya itu menjurus ke arah 'percantuman parti' atau kerjasama?

"Jika percantuman parti, adakah Barisan Nasional (BN) atau UMNO yang menjadi pilihan Pas nanti?," katanya.

MUZDALIFAH MUSTAPHA
muzdalifah.mustapha@utusan.com.my

Digg this

0 comments: